Local NewsNews

Tiada persiapan raya buat peniaga colek dikompaun RM50,000

KOTA BHARU – Buntu untuk mencari wang bagi menjelaskan kompaun sebanyak RM50,000 menyebabkan seorang peniaga colek di sini tidak dapat menyediakan pakaian raya kepada isteri dan 11 orang tanggungannya.

Mohd.Azizi Mohd.Nor, 42 ternyata tidak tidur lena selepas dikompaun dengan jumlah itu selepas dia dipercayai tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila masih membuka gerainya selepas pukul 10 malam pada 25 April lalu.

Katanya, dia kini masih belum membeli baju raya untuk lima anak, enam anak saudara dan seorang ibu saudara yang tinggal bersamanya.

“Saya sentiasa memikirkan tentang jumlah kompaun yang bakal dikenakan nanti meskipun sudah dua kali membuat rayuan pengurangan kompaun kepada Kementerian Kesihatan (KKM) pada 26 April lalu.

“Sejujurnya, simpanan saya sudah berkurangan selepas tidak berniaga. Keadaan itu menyebabkan saya tidak mampu untuk membeli kuih-muih dan pakaian baharu untuk ahli keluarga,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Chekok Tengah, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, Mohd. Azizi dan isteri Nik Nawati Nik Lah, 38, terkejut menerima kompaun sebanyak RM50,000 ketika mereka selesai berniaga di kawasan bawah tangga rumah.

Ketika itu, dia dan isteri sedang menggoreng keropok untuk hidangan anak-anak selepas selesai berniaga colek selain telah menutup kedai.

Mengulas lanjut, Mohd.Azizi berkata, setakat ini, dia belum menerima sebarang jawapan daripada KKM mengenai jumlah kompaun yang akan dikenakan.

Simpati dengan nasib yang menimpa peniaga itu, seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Sunny Ung telah tampil untuk membantu bagi menyelesaikan jumlah kompaun yang dikenakan terhadap Mohd.Azizi.

Sunny berkata, beliau sanggup untuk membayar kompaun yang dikenakan terhadap Mohd. Azizi selepas kes itu tular di media sosial baru-baru ini.

Katanya, bagi meringankan bebanan peniaga itu, beliau telah menyerahkan sumbangan berupa wang tunai agar mereka sekeluarga dapat membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri tahun ini. – K! ONLINE

You may also like

Comments are closed.

More in:Local News