Local NewsNews

SPRM Kedah tahan CEO, 3 pegawai kanan GLC disyaki seleweng dana RM2.2 juta

Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) antara empat individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah hari ini, bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana berjumlah kira-kira RM2.2 juta.

Menurut sumber SPRM, kesemua suspek yang berumur 49 hingga 58 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Kedah pada jam 3.45 petang hingga 4.15 petang tadi selepas hadir memberi keterangan.

Katanya siasatan awal mendapati CEO dan tiga lagi pegawai kanan syarikat itu disyaki menyalahgunakan kuasa dan kedudukan mereka dengan menyalurkan dana GLC tersebut ke dalam dua syarikat yang disyaki kesemua suspek mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut.

Menurut sumber itu lagi, perbuatan itu dipercayai dilakukan antara tahun 2016 sehingga 2019.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Katanya, kesemua suspek juga akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini esok bagi mendapatkan perintah reman.

You may also like

Comments are closed.

More in:Local News