Local NewsNews

Remaja hidap kanser otak tahap 3 naik helikopter jumpa nenek, datuk

ALOR SETAR: Hasrat seorang remaja mengidap kanser otak tahap tiga di Langkawi untuk berjumpa nenek dan datuknya di Pokok Sena, seterusnya menyambut Aidilfitri bersama mereka akhirnya tercapai apabila dia diterbangkan menggunakan helikopter ihsan Pengarah Urusan Kumpulan The Weststar Group, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim, hari ini.

Noraifa Azira Abdul Aziz,14, diterbangkan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Melaka, Langkawi, kira-kira jam 11 pagi tadi dan tiba di SK Bukit Hijau 40 minit kemudian sebelum dibawa oleh ambulans Briged Sukarelawan 1Malaysia (BS1M) Sik dan Bomba Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (YJM) ke rumah neneknya di Kampung Bukit Hijau, Mukim Derang, Pokok Sena, di sini.

Ibunya, Roslina Aaswira Azmi,38, berkata anak sulung daripada lima beradik itu sudah terlantar sejak tahun lalu selepas doktor mengesahkan tiada lagi kaedah atau rawatan untuk menyembuhkan penyakitnya.

“Ketika Noraifa Azira berusia sembilan tahun iaitu pada 2013, terdapat tumor pada saraf tunjangnya dan doktor menjalankan pembedahan untuk membuang tumor di kepalanya ketika dia berusia 11 tahun.

“Bagaimanapun, kanser ini datang semula dan doktor melakukan empat kali rawatan kemoterapi, namun tiada sebarang perubahan dan tumor semakin membesar.

“Sejak tahun lalu dia mula terlantar dan akhir-akhir ini tidak berselera makan, malah sejak minggu lalu hampir setiap hari Noraifa Azira mengadu rindu kepada neneknya dan mahu balik beraya di kampung selepas tiga tahun tidak pulang kerana penyakitnya itu,” katanya ditemui di Kampung Bukit Hijau, Pokok Sena, hari ini.

Roslina berkata, dia berterima kasih kepada aktivis Muslim CareMalaysia (Muslim Care), Natipah Abu yang berusaha menunaikan hasrat Noraifa Azira untuk pulang ke kampung halamannya.

Katanya, pertolongan dihulurkan pihak berkaitan juga meringankan beban suaminya, Abdul Aziz Din, 43 yang bekerja sebagai mekanik dan memperoleh pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan.

“Kami juga terhutang budi kepada setiausaha peribadi kepada Pengarah Urusan Kumpulan The Weststar Group, Datuk Kamil Din yang menguruskan penerbangan ihsan ini.

“Hari ini, Noraifa Azira kelihatan ceria selepas dapat berjumpa datuknya, Azmi Harun,63, dan neneknya, Siti Hawa Osman, 63,” katanya.

Sementara itu, Noraifa Azira ketika ditemui berkata, dia gembira berjumpa nenek dan datuknya walaupun dalam keadaan terlantar sakit.

“Saya seronok akhirnya dapat balik rumah tok, terima kasih semua yang tolong saya hari ini,” katanya dengan suara perlahan.

Sebelum ini, tular di media sosial, usaha Natipah untuk menunaikan hasrat Noraifa Azira selepas tersentuh dengan kisah remaja itu.

Natipah berkata, pada awalnya dia mahu menyewa bot laju, namun tidak sesuai dengan keadaan Noraifa Azira, sebelum memohon penerbangan ihsan pihak berkuasa seperti bomba.

“Saya perlu membuat surat permohonan dan ia mengambil sedikit masa, selepas itu saya cuba menyewa helikopter namun banyak yang tidak beroperasi kerana pandemik COVID-19.

“Akhirnya saya menghubungi Datuk Kamil dan pihaknya bersetuju menerbangkan Noraifa Azira hari ini,”katanya.

You may also like

Comments are closed.

More in:Local News