EconomicsLocal NewsNews

MIER unjur pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia tahun ini pada 4.0 peratus

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia bagi 2021 diunjurkan pada 4.0 peratus iaitu di bawah purata 4.9 peratus bagi 2015-2019 sewaktu tempoh prapandemik COVID-19.

Bagaimanapun, menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), terdapat petanda jelas bahawa ekonomi negara berada di landasan pemulihan berbentuk lekuk V.

Dalam laporannya mengenai Prospek Ekonomi Malaysia Bagi Suku Ketiga 2021, MIER berkata unjuran KDNK itu adalah berdasarkan prestasi makroekonomi tahun ini, perkembangan dan cabaran kurang memberangsangkan yang telah menjejaskan ekonomi Malaysia.

Menurutnya, pertumbuhan KDNK sebenar dijangka meningkat secara ketara antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus pada 2022 yang menunjukkan bahawa kesemua sumber berkemungkinan besar digunakan sepenuhnya, terutama menjelang akhir tahun depan.

 

PEMULIHAN BENTUK LEKUK V

Menurut MIER, terdapat petanda jelas berlakunya pemulihan berbentuk lekuk V, terutama menerusi peningkatan permintaan agregat domestik, penggunaan dan pelaburan swasta, pertumbuhan kukuh berterusan dalam eksport bersih barangan dan perkhidmatan, peningkatan bersih rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) dan kenaikan aliran masuk pelaburan langsung dan portfolio pelabur asing.

Malah, ia mengunjurkan penggunaan dan pelaburan swasta akan terus mendapat momentum dalam suku-suku akan datang susulan langkah pembukaan semula ekonomi pada suku keempat 2021 dan peningkatan import barangan pertengahan dan modal.

“Bagaimanapun, indikator yang ternyata perlahan memerlukan pemantauan rapi, terutama berikutan peningkatan angka pinjaman tidak berbayar (NPL), kadar tawaran jawatan kosong dan pekerjaan yang perlahan, peningkatan hartanah yang tidak terjual serta kelemahan persekitaran pasaran kewangan,” kata MIER yang juga sebuah badan bebas dan tidak berkeuntungan.

MIER juga menyifatkan Malaysia sedang mengalami keadaan dikenali sebagai kejutan komoditi-mata wang apabila harga eksport komoditi melonjak manakala kadar tukaran ringgit sebagaimana diukur oleh kadar tukaran asing nominal efektif (NEER) adalah kekal lemah.

“Susulan itu, kelemahan makro dijangka berlaku dan ini termasuk aliran keluar berterusan portfolio dan pelaburan lain oleh pemastautin, peningkatan kos sara hidup, pertambahan hutang sektor awam dan isi rumah serta kemungkinan berlakunya semakan turun penarafan ke atas hutang Malaysia,” katanya.

 

DEFISIT FISKAL DIUNJUR TERUS MENINGKAT  

Defisit fiskal membabitkan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan diunjur terus meningkat ketika ia menghampiri 6.0 peratus daripada nominal KDNK pada 2021 walaupun ekonomi secara keseluruhannya dijangka bertambah baik pada tahun ini.

Angka tersebut masih rendah berbanding nisbah tertinggi pada 6.5 peratus daripada KDNK pada 2009 apabila negara terjejas teruk akibat krisis ekonomi dan kewangan global, katanya.

Menurut MIER, setakat  akhir Jun 2021, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan yang terkumpul berjumlah RM958.4 bilion atau 61.1 peratus daripada KDNK dan melepasi had hutang berkanun semasa pada 60 peratus.

“Dalam melangkah maju, cukai berdasarkan penggunaan, yang sebelum ini dikenali sebagai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), boleh dilaksanakan dengan pendekatan penyesuaian yang teliti untuk memastikan keberkesanannya sebagai penstabil tersedia automatik.

“Menaikkan kadar cukai pendapatan bagi individu dan syarikat dilihat satu tindakan yang tidak adil dalam persekitaran sukar masa ini. Tambahan pula, bahagian cukai langsung daripada jumlah hasil sewajarnya berada pada laluan penurunan bagi jangka panjang,” jelasnya.

 

KECONDONGAN DASAR MONETARI ELAK KETIDAKSEIMBANGAN

MIER menjelaskan, sejajar jangkaan proses pemulihan ekonomi dan kadar faedah lebih tinggi di luar negara, dasar monetari BNM perlu condong secara sederhana ke arah pendirian yang kurang akomodatif, selain unjuran inflasi seharusnya diukur secara sistematik dan analisis untuk mengelakkan ketidakseimbangan kewangan.

Kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat pada fasa terakhir tahun ini atau awal 2022 mungkin boleh mempengaruhi tindakan dasar monetari dan meningkatkan kadar faedah kepada paras lebih tinggi di peringkat antarabangsa.

“Sekiranya Malaysia kekal di belakang keluk itu, tekanan pasaran akan berterusan ke atas kadar pertukaran ringgit dan kerugian rizab yang berpotensi besar atau penyusutan ringgit yang ketara,” tambahnya.

Menurut MIER, perubahan kadar dasar semalaman (OPR) juga perlu secara beransur-ansur dan tersebar dari semasa ke semasa, manakala pemboleh-ubah makro utama perlu dipertimbangkan dalam fungsi reaksi dasar monetari, khususnya perubahan kadar pertukaran dan pergerakan harga aset utama seperti harga ekuiti dan kediaman.

“Mekanisme petunjuk atau garis panduan bagi kemajuan masa hadapan yang baik perlu digunakan untuk menjelaskan dan mendidik agen ekonomi dan pihak berkepentingan secara keseluruhannya bahawa kenaikan kadar faedah turut dipengaruhi oleh penularan dasar monetari,” jelasnya.

 

IMF SEMAK PERTUMBUHAN EKONOMI DUNIA 2021

Dalam laporan Prospek Ekonomi Dunia terkini, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak turun unjuran pertumbuhan tahunan 2021 bagi ekonomi dunia kepada 5.9 peratus iaitu 0.1 mata peratusan lebih rendah daripada 6.0 peratus yang dikemaskini pada Julai.

Menurut laporan itu, pemulihan jangka pendek tidak lancar adalah dijangkakan dialami oleh ekonomi dunia ekoran kejutan daripada pandemik COVID-19 yang diunjurkan bertahan lebih lama dan menjejaskan prestasi jangka sederhana.

Susulan harga komoditi yang melonjak, prospek bagi Pasaran Pesat Membangun dan Ekonomi Membangun (EME) telah disemak naik bagi 2021 manakala unjuran pertumbuhan bagi Ekonomi Maju disemak turun dengan mata peratusan lebih besar berikutan gangguan bekalan.

Bagi jangka sederhana, pertumbuhan global diunjurkan sederhana pada 3.3 peratus setahun.

Menurut MIER, bagaimanapun, IMF mengekalkan prospek pertumbuhan global 2022 pada 4.9 peratus sekali gus menunjukkan pemulihan global akan berterusan pada tahun depan.

You may also like

Comments are closed.

More in:Economics