EconomicsLocal NewsNews

MATTA gesa skim pampasan lebih adil daripada AirAsia X

Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menggesa skim pampasan yang lebih adil berbanding penyelesaian hutang sebanyak 0.5 peratus yang dicadangkan oleh AirAsia X Bhd (AAX).

Melalui skim yang disarankan itu yang pada masa ini di bawah penyeliaan Mahkamah Tinggi, MATTA berkata ejen pelancongan, ejen carter, dan penumpang akan menerima RM3.0 juta daripada RM599.8 juta liabiliti terakru belum lunas.

Dalam satu kenyataan, persatuan itu berkata cadangan penstrukturan semula hutang itu memerlukan kelulusan sekurang-kurangnya 75 peratus daripada jumlah nilai hutang yang mengundi dalam setiap kelas pemiutang.

Kegagalan untuk mendapat kelulusan pemiutang bagi penstrukturan semula perniagaannya dijangka menyaksikan syarikat penerbangan itu dibubarkan.

“Di bawah cadangan penstrukturan semula hutangnya, AAX berhasrat untuk menyusun semula RM63.5 bilion daripada hutangnya kepada perakuan keterhutangan bagi jumlah prinsipal sehingga RM200 juta dengan mengurangkan 99.9 peratus daripada modal saham terbitannya serta cadangan penyatuan saham bagi setiap 10 saham sedia ada syarikat itu kepada satu saham.

“Penumpang dan ejen pelancongan tidak boleh didenda kerana pertamanya, deposit ini perlu dipegang dengan amanah oleh syarikat penerbangan. Oleh itu, kami menggesa penyelesaian yang lebih baik termasuk kadar penyelesaian hutang penuh atau menukar semua liabiliti belum lunas kepada mata kredit untuk tempoh akan datang,” menurut Presiden MATTA Datuk Tan Kok Liang.

Mesyuarat undian untuk pemiutang Kelas A, B dan C untuk mengambil bahagian, bercakap dan membuat undian dijadualkan buat sementara waktu pada 12 Nov 2021.

Pada 14 April 2020, MATTA turut menggesa Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) untuk menyediakan mekanisme bagi perlindungan pengguna termasuk ejen pelancongan melalui penyeliaan dan tadbir urus yang memuaskan.

“Sekiranya MAVCOM tidak dapat melindungi kepentingan penumpang udara, siapa lagi yang boleh melakukannya? Kita perlu mengembalikan keyakinan pelanggan untuk perjalanan pasca COVID-19.

“Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia juga perlu mengambil perhatian dan menyedari situasi ini dan keadaan yang dihadapi oleh ejen pelancongan yang berdepan situasi sedemikian,” katanya.

You may also like

Comments are closed.

More in:Economics