Local NewsNews

Kompaun RM1.1 juta ke atas Ahmad Maslan adalah tindakan punitif – SPRM

 

Tindakan kompaun RM1.1 juta yang dikenakan ke atas Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan merupakan satu tindakan punitif terhadapnya dan ia merupakan satu bentuk pemulangan aset di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, Ahmad sebelum ini pernah ditawarkan kompaun tersebut pada Oktober 2019 namun memilih untuk dibicarakan di mahkamah pada ketika itu.

“Sehubungan itu, beliau dituduh dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) dan Seksyen 32(8)(c) AMLATFPUAA 2001 pada 20 Jan 2020. Semasa tempoh perbicaraan berjalan, beliau telah mengemukakan representasi dan bersetuju kembali untuk membayar kompaun tersebut,” menurut SPRM.

Mahkamah Tinggi hari ini melepas dan membebaskan Ahmad daripada dua pertuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada SPRM.

Ahmad, 55, didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar di dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan dengan tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada Najib berjumlah RM2 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov, 2013 yang ditunaikannya sendiri pada hari sama di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim pada 30 April, 2014.

Ahmad juga dituduh memberi penyataan palsu semasa percakapannya dirakam mengikut Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram oleh pegawai penyiasat SPRM di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, di sini antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai, 2019.

You may also like

Comments are closed.

More in:Local News