Local NewsNews

Kemunculan varian Omicron dijangka dorong eksport sarung tangan getah

 

KUALA LUMPUR, 30 Nov — Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata eksport sarung tangan getah dijangka meningkat di tengah-tengah kemunculan varian COVID-19 Omicron.

Sehubungan itu, menteri berkenaan Datuk Zuraida Kamaruddin berkata Malaysia akan memastikan bekalan yang mencukupi kepada dunia dan melindungi pasarannya.

Katanya setakat ini varian baharu itu belum dilaporkan di Malaysia, namun dikesan berlaku di beberapa negara lain.

“Memandangkan kita pengeluar utama produk (sarung tangan getah) ini, kita menyaksikan eksport sarung tangan getah meningkat ketika dunia dan negara kita dilanda pandemik.

“Ini kerana sifatnya iaitu bekalan yang rendah, namun permintaan tinggi. Oleh itu, kita mencatatkan jualan yang baik,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri program temu bual Buletin Bernama di Bernama TV, sempena Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 Hari.

Beliau berkata industri sarung tangan getah tidak akan terjejas dari segi pengeluaran, namun, menyaksikan isu kekurangan pekerja yang menjadi masalah utama bagi peserta industri.

Sehubungan itu, Zuraida berkata beliau telah membentangkan kepada Kabinet bagi menghasilkan  mekanisme yang lebih mampan untuk memastikan negara mempunyai bekalan pekerja asing yang mencukupi.

“Ini akan dilakukan terus melalui pengurusan kerajaan dengan kerajaan (G-to-G) dan akan menjadi matlamat jangka pertengahan kami. Untuk masa terdekat, kita akan cuba untuk mendapatkan pekerja asing bagi kilang-kilang pengeluaran sarung getah pada awal tahun depan,” katanya.

Beliau berkata Malaysia akan terus bersaing dengan negara pengeluar seperti China dan Indonesia meskipun kedua-dua negara itu mempunyai jumlah populasi yang besar.

“Malaysia pula hanya mempunyai 32 juta penduduk. Jadi, tidak mungkin kita boleh mengeluarkan sejumlah sarung tangan untuk tujuan penggunaan global dengan pekerja yang terhad,” katanya.

Saham sarung tangan getah dilaporkan meningkat pada Isnin, diterajui Top Glove Bhd disebabkan varian Omicron.

Malah, pada hari yang sama, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan varian baharu itu dijangka merebak dengan meluas.

Sementara itu, Zuraida berkata Malaysia masih memerlukan tenaga pekerja asing, sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga hingga lima tahun akan datang terutamanya dalam industri sawit sehingga ia mempunyai mekanisasi canggih dan mendapat penyertaan lebih ramai generasi muda.

Beliau berkata melalui platform G-to-G, kementerian itu akan menyampaikan lebih banyak maklumat kepada negara luar mengenai isu buruh di negara ini, sekali gus menyangkal tuduhan mengenai unsur penganiayaan dan penipuan dalam sektor sawit dan getah.

“Kita juga akan mengeluarkan polisi perumahan pekerja di ladang sawit dan getah. Dengan adanya polisi ini, rumah-rumah pekerja asing akan lebih selesa, lebih menepati prosedur operasi standard dan mereka akan berasa lebih selesa,” katanya sambil menyifatkan tuduhan oleh pertubuhan bukan kerajaan daripada Kesatuan Eropah (EU) adalah sesuatu yang tidak adil.

“Saya sendiri akan membawa isu ini ke EU pada tahun depan dan akan membentangkan perkara-perkara yang telah laksanakan Malaysia agar mereka lebih jelas.

“Ini penting agar pihak luar tahu bahawa Malaysia adalah negara yang progresif dan bukannya mundur,” katanya.

Sehingga September 2021, sektor agrikomoditi telah mencatatkan nilai eksport sebanyak RM154.7 bilion.

Peningkatan nilai eksport produk agrikomoditi didorong oleh faktor peningkatan eksport produk utama seperti minyak sawit berasaskan sawit dan sarung tangan getah.

Nilai eksport getah asli dan produk getah telah meningkat sebanyak 88.5 peratus kepada RM59.1 bilion, manakala sawit sebanyak 43.3 peratus kepada RM74.4 bilion.

Eksport perkayuan sebagai penyumbang eksport ketiga terbesar selepas sawit dan getah mencatatkan peningkatan 1.2 peratus kepada RM15.9 bilion.

You may also like

Comments are closed.

More in:Local News