Local NewsNews

Keluarga Haziq masih tunggu punca kematian

Melaka: Keluarga pemanah negara Allahyarham Haziq Kamaruddin masih menunggu pengesahan sebenar punca kematian mengejut atlet terbabit pagi Jumaat lalu.

Kamaruddin Yusof, 58 bapa Allahyarham berkata, setakat ini pihak hospital dan pakar yang melakukan pembedahan belum menghubungi beliau mengenai punca kematiannya.

Katanya, dia bersama isteri Allahyarham, Shahira Abdul Halim dipanggil oleh pakar semasa bedah siasat dilakukan yang memaklumkan akan memberitahu mereka dalam tempoh sebulan atau paling awal seminggu berkaitan punca kematiannya.

“Jadi saya pegang kata-kata berkenaan dan selagi belum ada pengesahan berkaitan perkara itu saya masih menunggu dengan tenang dan sabar.

“Malah pada surat kematiannya masih belum ada pengesahan punca kematiannya yang masih dikosongkan,” katanya.

Allahyarham Haziq dibawa ke Hospital Kajang Jumaat lalu dan disiasat di bawah Sudden Death Report (SDR) oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, dengan arahan bedah siasat dikeluarkan untuk menentukan sebab kematian.

Semalam media melaporkan kenyataan Ketua Perkhidmatan Perubatan Forensik Datuk Dr Zahari Noor yang berkata, hingga kini tiada bukti menunjukkan bahawa kematian Olimpian berusia 27 tahun itu berkait langsung dengan vaksinasi Covid-19.

“Proses bedah siasat selesai dilakukan setelah ujian calitan Covid-19 yang diambil menunjukkan keputusan negatif bagi virus terbabit. Hasil bedah siasat menunjukkan kepada kematian disebabkan komplikasi salur darah jantung tersumbat akibat daripada perubahan arterosklerosis.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk menunggu beberapa keputusan analisis makmal,” kata Pakar Perunding Kanan Perubatan Forensik itu.

Kamaruddin berkata, dia turut membaca laporan media berkenaan yang diposkan oleh beberapa rakannya namun dia masih menunggu laporan lengkap punca kematian.

Beliau berkata, dia dan seluruh ahli keluarga sememangnya menanti laporan berkenaan yang mahu mengetahui punca sebenar kematiannya seperti makluman pihak pakar kepadanya dan isteri Allahyarham.

Apapun, dia redha dengan ketentuan Ilahi anak kedua daripada tiga beradik itu meninggal dunia pada usia muda walaupun masih aktif selain sedang persiapan memburu layak ke Olimpik buat kali ketiga.

Namun, dia kini ingin mengetahui punca sebenar kerana anaknya tidak mengalami masalah jantung seperti dinyatakan pihak doktor sebelum ini, selain sihat dan ceria termasuk bersembang bersama keluarga pada pagi satu Syawal menerusi `video call’.

Menurutnya, biarlah pihak doktor pakar membuat penjelasan selepas semuanya siap kelak, sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.

Haziq pernah beraksi di pentas Olimpik London 2012 dan Rio 2016, dilaporkan rebah di rumahnya pada kira-kira 8 pagi kelmarin, sebelum dikejarkan ke Hospital Kajang dan disahkan meninggal dunia pada 9.37 pagi.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Koperasi Kampung Tersusun Serkam Darat, Merlimau, Melaka pada 1.40 pagi semalam selepas selesai dibedah siasat di Hospital Kajang malam tadi.

Haziq antara lebih 200 atlet dan pegawai yang terbabit dalam persediaan ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo yang melengkapkan dos suntikan vaksin pada 4 Mei lalu.

Antara pencapaian Haziq termasuk meraih pingat emas di Grand Prix Asia 2011 di Laos dan gangsa Piala Asia 2019 di Filipina, serta empat emas dan dua perak dalam acara individu dan berpasukan di Sukan SEA sejak edisi 2011 hingga 2019.–Hmetro

You may also like

Comments are closed.

More in:Local News