Local NewsNews

Caruman baharu KWSP dikreditkan ke Akaun 1 bagi tingkatkan simpanan – Mohd Shahar

 
Caruman baharu diterima oleh ahli-ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membuat pengeluaran dana akan dikreditkan dahulu ke Akaun 1 sepenuhnya hingga keseluruhan jumlah pengeluaran diambil dapat diganti semula, kata Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah.
 
Setelah itu, beliau berkata pecahan caruman akan kembali kepada 70 peratus ke Akaun 1 dan 30 peratus ke Akaun 2.
 
“Ini adalah usaha kerajaan untuk menambah baik simpanan ahli yang telah membuat pengeluaran melalui skim i-Sinar dan i-Citra untuk meringankan beban ditanggung berikutan impak pandemik COVID-19,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
 
 
 
Beliau berkata berdasarkan statistik semasa dan mengambil kira pengeluaran skim i-Sinar dan i-Citra, hanya 27 peratus daripada ahli aktif berumur 18 hingga 55 tahun dijangka mempunyai simpanan dalam Akaun 1 melebihi kuantum simpanan asas yang ditetapkan mengikut umur.
 
Beliau menjawab pertanyaan soalan tambahan oleh Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) mengenai usaha kerajaan dalam memastikan simpanan KWSP dalam Akaun 1 mencukupi untuk menampung keperluan asas selepas persaraan.
 
Sebelum itu, Shahar memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan juga terus meneliti kaedah-kaedah lain untuk memastikan Jaringan Keselamatan Sosial persaraan rakyat dapat kembali ke tahap sepatutnya.

You may also like

Comments are closed.

More in:Local News