Local NewsNews

Bekas warden penjara didakwa menyamar polis

ZAKWAN Mahuri didakwa menyamar sebagai anggota polis di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak,  hari ini. – UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH: Seorang bekas warden penjara didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tuduhan menyamar sebagai anggota polis, Khamis lalu.

Tertuduh, Zakwan Mahuri, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd. Darus.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa berpura-pura memegang sesuatu jawatan sebagai penjawat awam dengan menyamar sebagai anggota polis atau dengan palsunya menyamari seseorang lain yang memegang jawatan itu dan melakukan apa-apa perbuatan atas kuasa jawatan.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di pekarangan pejabat Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada pukul 9.50 pagi, 18 November lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sufi Aiman Azmi manakala tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 21 Disember ini.

Difahamkan, Zakwan ditangkap setelah didapati berada dalam keadaan mencurigakan selain gagal menunjukkan kad kuasanya sebagai pegawai kanan polis.

Lelaki itu yang berpakaian biasa dan berkasut kawad mendakwa seorang pegawai polis berpangkat inspektor dan bertugas di Penjara Tapah.

You may also like

Comments are closed.

More in:Local News