Local News

Kelindan didenda RM3,000 cuba rasuah Sarjan Tomeromatamini

IPOH – Seorang kelindan lori didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan cuba merasuah RM50 kepada seorang anggota polis di Taiping, Jun lalu.

Tertuduh, M. Vivegananta, 26, mengaku bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, tertuduh membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu secara rasuah memberi suapan wang tunai RM50 kepada Sarjan Tomeromatamini Hossin di sekatan jalan raya (SJR) Kuala Sepetang arah Taiping-Kuala Sepetang, Taiping pada pukul 10.15 pagi, 24 Jun 2020.

Suapan itu diberikan sebagai dorongan kepada Tomeromatamini yang bertugas di Balai Polis Pokok Assam untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Vivegananta kerana tidak memiliki Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL) sebagaimana Seksyen 56(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pendakwaan terhadap lelaki itu dibuat mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum 10 tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam, Kathan Maruthamuthu.

Hakim Indra Nehru turut memerintahkan semua barang kes dikembalikan kepada pihak pendakwaan. – K! ONLINE

You may also like

Comments are closed.

More in:Local News