Global News

Kawasan hijau di China meningkat 22.96 peratus 

Jumlah kawasan hijau di China dalam tempoh 40 tahun sejak 1980an telah meningkat daripada 12.98 peratus kepada 22.96 peratus pada 2020, secara tidak langsung menjadikan negara ini mencatat pertambahan kawasan hutan hijau paling pantas di dunia.

Data pengawasan satelit menunjukkan penambahan kawasan tumbuh-tumbuhan hijau di China meliputi sekurang-kurangnya 25 peratus jumlah penambahan sejagat dalam tempoh 17 tahun lalu.

Untuk rekod, sebelum tahun 1949, kadar liputan kawasan hutan di China hanya mencatat 8.6 peratus dan selepas Republik Rakyat China ditubuhkan, kadar 12 peratus dapat dikekalkan selama 30 tahun.

Pada 2019, data dikeluarkan NASA mendedahkan bahawa berbanding 20 tahun lepas, kini dunia semakin hijau dan China adalah antara penyumbang penting bagi menggalakkan perubahan itu.

Sebelum ini, sebuah agensi berita asing pernah menyiarkan satu laporan yang diterbitkan jurnal ‘Nature’ pada 28 Okt tahun lepas mengenai sumbangan China dalam penggunaan karbon hutan dunia pernah dipandang rendah.

Menurut laporan itu, ekosistem darat China menyerap kira-kira 1.11 bilion tan karbon secara purata setiap tahun untuk tempoh dari 2010 hingga 2016, sekali gus menyerap 45 peratus pelepasan karbon antropogenik.

You may also like

Comments are closed.

More in:Global News