Global News

COVID-19: India lepasi enam juta kes jangkitan

NEW DELHI: India melaporkan jumlah kes COVID-19 di negara itu pada Isnin melepasi angka enam juta, ketika wabak itu melanda seluruh negara Asia Selatan.

Berdasarkan laporan kementerian kesihatan, dengan 6.1 juta kes jangkitan, India dijangka mengatasi Amerika Syarikat (AS) dalam masa beberapa minggu akan datang dengan jumlah kes yang paling tinggi.

Negara itu turut merekodkan hampir 100,000 kematian. Negara dengan 1.3 bilion penduduk itu menempatkan beberapa bandar paling padat di dunia dan sudah lama diramal akan merekodkan jumlah kes COVID-19 yang tinggi.

India mencatatkan pertambahan 80,000 ke 90,000 jangkitan baharu setiap hari sejak ia melaporkan pertambahan kes harian tertinggi di dunia bermula lewat Ogos.

Perdana Menteri, Narendra Modi pada Ahad meminta orang ramai supaya mengenakan pelitup mula apabila keluar rumah.

“Peraturan ini adalah senjata dalam peperangan melawan corona. Ia adalah alat berpotensi bagi menyelamatkan nyawa setiap rakyat,” kata Modi dalam ucapan bulanannya melalui radio.

Virus itu pada mulanya melanda bandar metropolis termasuk hab kewangan, Mumbai dan ibu negara, New Delhi, namun kemudian merebak ke kawasan wilayah dan luar bandar, yang mana sistem kesihatannya rapuh dan tidak menentu.

Di sebalik penyakit yang berlanjutan itu, kerajaan seperti tidak mungkin akan melaksanakan semula perintah berkurung yang sudah ditamatkan secara beransur-ansur, selepas sekatan keras itu menggugat ekonomi dan merosakkan kehidupan jutaan penduduk terutama golongan miskin.

Sebahagian sekolah sudah dibuka, kereta api, penerbangan domestik, pasar dan restoran sudah dibenarkan beroperasi dengan sekatan tertentu.

Anand Krishnan, seorang profesor perubatan komuniti di All India Institute of Medical Sciences (AIIMS) di Delhi, berkata fokus perlu diberikan kepada merawat mereka yang dijangkiti virus.

“Jangkitan ini sudah ada dalam masyarakat,” katanya kepada AFP.

“Satu-satunya perkara yang dapat kita lakukan adalah menjaga orang sakit, mengenal pasti mereka dengan lebih cepat dan merawat mereka dengan lebih baik, dan mengikuti norma penjarakan sosial. Selain itu, saya tidak fikir sebarang perkara khusus yang dapat dilakukan,” katanya. – AFP

You may also like

Comments are closed.

More in:Global News