EntertainmentGlobal News

Momota tarik diri, positif Covid-19

TOKYO – Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan Persatuan Badminton Thailand (BAT) mengesahkan bahawa pemain No.1 dunia, Kento Momota disahkan positif Covid-19 pada Ahad lalu sebelum berlepas untuk menyertai Terbuka Thailand.

Pemain berusia 26 tahun itu diuji positif di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita sebelum pasukan Jepun berlepas ke Thailand.

Berikutan insiden tersebut, Persatuan Badminton Jepun (NBA) membuat keputusan untuk menarik diri semua saingan di Thailand termasuk Yonex Terbuka Thailand pada 12 hingga 17 Januari diikuti Toyota Terbuka Thailand (19 hingga 24 Januari).

“Momota disahkan positif ujian koronavirus dan persatuan mengambil keputusan tidak menghantar seorang pun pemain termasuk Momota ke Thailand,” menurut kenyataan NBA semalam.

Momota membuat penampilan semula di pentas antarabangsa di Bangkok selepas berehat hampir setahun susulan kemalangan di Kuala Lumpur sebelum ini yang menyebabkan dia mengalami sedikit kecede­raan.

Meskipun tiada seorang pun daripada 22 pemain Jepun lain yang diuji didapati positif, namun semua ahli pasukan menarik diri untuk mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Momota memenangi Kejohanan Kebangsaan Seluruh Jepun minggu lalu dalam pertandingan pertamanya sejak terbabit kemalangan pada Januari tahun lalu selepas memenangi Malaysia Masters.
– AGENSI

You may also like

Comments are closed.